Tuesday, March 11, 2008

"Tik...Tok.." Masa Berlalu

"Tik..Tok..Tik..Tok.."
Satu-persatu detik jarum saat itu beralih, aku tatapi. Ngomelan Cikgu Riza di hadapan mengenai topik baru hanya 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Benakku telah beralih sepenuhnya pada keenakan mi goreng di kantin tatkala perutku menjerit-jerit meminta makanan. Bilalah loceng ini hendak berbunyi?

"Kring!!!" 'Bagai orang mengantuk disorongkan bantal', aku terus berlari ke arah gerbang pintu. Intan dan Zawani pula pada waktu dan saat itu jugalah mereka ingin bergosip di muka pintu. Panas sahaja hatiku melihat mereka yang mengilai-ngilai bagai Pontianak Harum Sundal Malam yang menjelma di pagi hari. Lantas aku bersuara, "Boleh tolong ke tepi sikit tak?" Lembut sahaja nadaku. Maklumlah, 'budi bahasa, budaya kita' tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.

Bagai tunggul aku dibuatnya, sekilas haram dia tidak menoleh apatah lagi beranjak ke tepi. Pelajar-pelajar lain mula berpusu-pusu di belakangku sehinggalah tiba-tiba, terasa suatu daya yang kuat menolakku dari belakang. Aku gagal mengimbangi badanku lalu terjatuhlah aku menjurus ke arah Zawani. Rebah aku ke atas lantai. Terjeda aku seketika. Terdengar satu suara merintih-rintih di hadapanku. Zawani! Perlahan-lahan aku bangkit sambil memerhatikan dahi Zawani yang digosok-gosoknya. Berdarah!

"Teruknya kau, Azwa! Sanggup kau tolak dia sampai berdarah!" jerit Intan tepat menyasar kepadaku.
"Bukan aku yang buat!"
"Bukan..Bukan.. Sudah berdarah kepala dia kau kerjakan, pandailah kau bilang 'bukan'!"
Jeritan Intan telah menarik perhatian Cikgu Riza yang mula mengatur langkah ke arah kami. Zawani yang menangis teresak-esak memanggil Cikgu Riza dengan suaranya yang tersekat-sekat. Lurus sahaja jari telunjuknya mengarah kepadaku. Aku toleh ke belakang untuk mengenal pasti siapa yang menolakku tadi namun semua jari telunjuk telah menunjuk ke arahku. Habislah aku.

"Apa yang terjadi? Mengapa awak tolak Zawani, Azwa?" tanya Cikgu Riza.
"Saya tidak.." Belum sempat aku menjawab, satu suara sumbang di belakangku mencelah. "Dia tidak sabar hendak berlari ke kantin, cikgu. Dasar pentingkan diri sendiri. Orang lain pun mahu makan juga."
"Cikgu, dengarlah penjelasan saya, cukgu." 'Sudah jatuh ditimpa tangga', belum juga sempat aku menerangkan perkara sebenar, pengetua menghampiriku bersama Intan yang mengekorinya. Pasti Intan telah melaporkan kepadanya.

"Nor Azwa binti Roslan, ikut saya ke pejabat sekarang"
Nampaknya saat malangku telah tiba. Sambil aku berjalan, aku menekur melihat langkahku sambil meruntun keberanian untuk berdepan dengan pengetua. Apa yang pasti, tiada lagi harapan untukku mencari keadilan buat diriku sendiri kerana bagi pengetua, setiap patah kata pelajar yang dipanggilnya ke pejabat adalah seperti 'menegakkan batu yang basah' meskipun pelajar itu tidak bersalah!

"Hulurkan tapak tangan awak," kata pengetua sambil mencapai rotannya yang panjang menjalar di atas meja. Terkelip-kelip mataku memikirkan kesakitan yang bakal aku hadapi. Tinggi tangan pengetua diangkat bersama rotan itu lalu dihayunnya laju dan mendarat ganas di atas telapak tanganku yang tidak berdosa. Bukan sekali, tetapi lima kali. Terkeluar setitis air mataku menahan keperitan.

Aku melangkah keluar dengan kesakitan yang teruk. Bukan cuma kesakitan fizikal yang aku maksudkan, tetapi juga kesakitan atma atas ketidakpercayaan pengetua dan cikgu terhadapku. Begitu juga kawan-kawanku yang semuanya telah menjelingku tajam.

Dalam hanya sekelip mata, maruahku telah tercalar, persahabatanku punah, dan kegembiraanku dirampas. Apalah yang dapat aku lakukan.

Biarlah detik-detik masa beransur-ansur menjernihkan keadaan.
"Tik...Tok...Tik...Tok..."

0 comments: